Mengenai Kami

Kami adalah koperasi yang berpusat di Negeri Perak, Malaysia, dengan penekanan pada penanaman sawit, pelaburan, pembiakan lembu, penyewaan hartanah dan pembenihan sawit.

Sejarah penubuhan Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak

Penubuhan Syarikat Pegawai Hutan Tahun 1953

Kesedaran yang membawa kepada penubuhan koperasi bermula dalam Tahun 1953 apabila Pegawai-pegawai Hutan Melayu berpakaian seragam Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang terdiri dari jawatan-jawatan Renjer Hutan, Pengawas Hutan, Penjaga Hutan dan Anak Perahu Jabatan Hutan yang telahpun bersatu didalam Persatuan Pegawai-pegawai Hutan Melayu Jawatan Rendah, Semenanjung Tanah Melayu, Cawangan Perak yang mana telah ditubuhkan semenjak Tahun 1940 untuk berjuang bagi memperbaiki gaji, syarat-syarat perkhidmatan/pekerjaan dan kebajikan mereka, menyedari bahawa persatuan sekerja dan Syarikat kerjasama adalah dua pertubuhan pekerja-pekerja yang tidak boleh dipisahkan, telah melangkah setapak lagi kehadapan dengan menubuhkan satu syarikat kerjasama yang dinamakan “Syarikat Pegawai-pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Bekerjasama-sama, Jimat Cermat, Membeli Harta dan Memperniagakan Modal Dengan Tanggungjawab Berhad” yang dipimpin oleh Allahyarham Sdr. Endut bin Shamsuddin sebagai Pengerusi, Allahyarham Sdr. Shamsuddin bin Mohd. Isa sebagai Setiausaha dan Allahyarham Sdr. Othman bin Din sebagai Bendahari untuk meninggikan taraf hidup dan ekonomi mereka secara ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’.

Dari Syarikat Kerjasama kepada Koperasi

Semenjak gerakan koperasi diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu dalam tahun 1922 oleh kerajaan Inggeris untuk tujuan menggalakkan jimat-cermat dan pinjam-meminjam secara kerjasama diantara mereka yang menjadi ahli dikalangan pekerja dan petani, pertubuhan itu dipanggil dengan nama “Syarikat Kerjasama”. Selepas pemansuhan Ordinan Koperasi 1948 dan kuatkuasa Akta Koperasi 1993 Kerajaan memperkenalkan perkataan “Koperasi” yang berasal dari perkataan Inggeris “Cooperative” menggantikan perkataan “Syarikat Kerjasama”.

Kelahiran Koop PEHUMA dalam Tahun 1961

Sungguhpun dalam praktiknya Syarikat Kerjasama tersebut telah dibubarkan, tetapi ianya masih hidup subur dihati Allahyarham Sdr. Hj. Shamsuddin bin Mohd. Isa, mantan Setiausaha Syarikat. Dengan persetujuaan Allahyarham Sdr. Endut bin Shamsuddin, mantan Pengerusi, Allahyarham Sdr. Hj. Shamsuddin telah menjelajah keseluruhan Negeri Perak atas perbelanjaannya sendiri, bermalam dirumah rakan-rakan sejawat dan berkempen memberi penerangan dan semangat untuk menghidupkan semula syarikat kerjasama mereka. Beliau telah berjaya mengumpul persetujuaan seramai 200 orang. Satu mesyuarat khas telah diadakan dan sebulat suara mengambil keputusan menghidupkan semula syarikat kerjasama itu atas nama “Syarikat Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Dengan Tanggungan Berhad” didalam Tahun 1961 dengan keahlian permulaan seramai 200 orang; Pengerusinya Allahyarham Sdr Hj. Endut bin Shamsuddin, Setiausahanya Allahyarham Sdr. Hj. Shamsuddin bin Mohd Isa dan Bendahari Allahyarham Sdr. Hj. Ramli bin Mat Selan. Harga satu saham RM1.00 dan seseorang ahli perlu memiliki sekurang-kurangnya 100 saham (RM100.00). Dengan penubuhan semula syarikat itu, Jabatan Syarikat Kerjasama telah mengembalikan wang sebanyak RM750.00 itu kepada syarikat. Wang itu dijadikan modal permulaan. Sehingga akhir Tahun 1978 syarikat telah dapat mengumpul wang saham sebanyak RM150,000.00. Mesyuarat Agung yang ke-5 syarikat itu pada 20 April 1975 yang diadakan di Dewan St. John Ambulance Ipoh telah dirasmikan oleh YB Encik (Tun) Abd. Ghaffar Baba, Menteri pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Malaysia. Persetujuan YB Encik (Tun) Abd. Ghaffar Baba hadir dan merasmikan mesyuarat agung itu telah menaikkan moral, semangat dan keazaman ahli-ahli syarikat.

Di dalam tahun 1978, semakan dan pindaan telah dibuat keatas Undang-undang Kecil (UUK) Syarikat ini untuk memperkemas dan meluaskan aktivitinya. Kertas pindaan (UUK) itu yang telah disediakan dengan pertolongan Encik Mohamad bin Ahmad Paun mantan pegawai Jabatan Pembangunan Koperasi Perak selaku Penasihat kepada syarikat ini, telah diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi, antaranya membawa perubahan-perubahan seperti berikut :

  • Nama syarikat diubah kepada “Koperasi Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak” ringkasnya “KOOP PEHUMA”.

  • Seseorang yang dilantik menjadi Anggota Lembaga hendaklah memiliki saham sekurang-kurangnya satu ribu ringgit.

  • Pada masa itu Pengerusi koperasi ini bertukar kepada Allahyarham Sdr. Mohd Noor bin Ibrahim. Manakala Allahyarham Sdr. Hj Shamsuddin bin Mohd Isa terus menjadi Setiausaha dan Allahyarham Sdr. Bahari bin Md. Nor yang telah dilantik sebagai Bendahari semenjak bulan Disember 1973.

Kenali Pengurusan Tertinggi kami

Pengurusan tertinggi kami di Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak terdiri daripada profesional berpengalaman yang memacu kejayaan kami serta menggerakkan strategi pemasaran dan memperluas jangkauan kami.

Pengerusi

Encik Nor Sharifuddin Bin Yeop Sabar

Setiausaha

Tn Haji Jauhari Bin Shamsudin

Bendahari

Encik Zamry Bin Azahar

Ahli Lembaga Koperasi

Encik Fakhri Bin Endut

Encik Ahmad Nadzri Bin Endut

Encik Ainuddin Bin Mohd Isa

Tn Haji Abdul Rahman Bin Abdul Fatah

Encik Khairi Bin Mohd Ariffin

Tn Haji Azhar Bin Adnan

Encik Aminuddin Bin Zainuddin

Noor Asmah Binti M. Ali

Encik Abdul Hakim Bin Mohamed Zainudin

Anugerah dan Pencapaian Koperasi

Di Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad, kami berbangga dengan pelbagai anugerah dan pencapaian yang telah kami terima. Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan dalam penanaman sawit, pembiakan lembu, pelaburan, dan perkhidmatan penyewaan hartanah. Usaha kami yang berterusan dalam kelestarian, inovasi, dan pembangunan komuniti telah diiktiraf oleh pemimpin industri dan organisasi terkemuka.